KUCHING, 3 Mac: Membudayakan integriti perlu disematkan bermula daripada peringkat akar umbi kerana kepimpinan mereka adalah ‘mata’ dan ‘telinga’ pihak kerajaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata nilai murni itu juga akan menjadi panduan kepada perancangan kerja mereka di lapangan.
Sehubungan itu, Jelajah Integriti yang telah diwujudkan sejak lima tahun yang lalu bertujuan memupuk kembali semangat pemimpin di peringkat akar umbi untuk mempraktikkan integriti dan memahami peraturan serta undang-undang.

“Agensi kerajaan mempunyai limitasi daripada sudut kaki, tangan dan masa untuk memantau projek-projek yang berjalan tetapi kita punya keyakinan bahawa ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pihak masyarakat pada peringkat akar umbi adalah mata dan telinga yang terbaik bagi memastikan perjalanan setiap projek itu berjalan mengikut spesifikasi yg telah ditentukan,” katanya.
Juanda berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Integriti Siri 1 Tahun 2023 Bahagian Kuching, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Juanda mendedahkan kerajaan Sarawak sentiasa terbuka untuk menerima pandangan kritikan daripada masyarakat setempat.
“Kerajaan Sarawak terbuka untuk menerima apa sahaja pandangan kritikan daripada masyarakat dan cadangan-cadangan yang konstruktif bagi memastikan pembangunan berjalan mengikut spesifikasi yg dikehendaki oleh peraturan yang sedia ada,” katanya lagi.

Terdahulu jelajah ini dimulakan pada 1 Mac 2023 di Daerah Lundu dan seterusnya di Bau pada 2 Mac yang lalu.
Turut hadir Timbalan Menteri dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N12 Kota Sentosa, Yap Yau Sin dan Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak, Semawi Mohamad. – TVS