KUALA LUMPUR, 1 Mac: Penduduk di luar bandar yang berdepan masalah capaian internet sehingga menyukarkan mereka untuk memohon bantuan banjir disediakan boleh berbuat demikian di pejabat daerah masing – masing.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, sebarang rujukan juga boleh didapati menerusi petugas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Ini bagi yang berpindah ke PPS manakala yang tidak berpindah, permohonan perlu dikemukakan kepada ketua masyarakat, ketua kampung, tuai rumah dan sebagainya.
“Kelulusan tertakluk kepada pengesahan pegawai daerah selaku pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Dato Anyi Ngau ( Gabungan Parti Sarawak – Baram) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sementara itu, bagi mangsa kebakaran pula, Wilson memaklumkan setiap negeri mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berbeza dalam menyalurkan bantuan.
Namun katanya, Kerajaan Persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sentiasa memberikan bantuan kepada mangsa terlibat. – TVS