KUCHING, 20 Feb: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) menyarankan supaya generasi muda melibatkan diri dalam industri perkayuan.
Pengurus Besarnya, Datu Hashim Bojet berkata, ini bagi melahirkan generasi muda yang kreatif serta berinovasi dalam pembuatan produk hiliran seperti perabot yang bertaraf dunia.
Ke arah merealisasikan hasrat berkenaan katanya, PUSAKA mahu anak muda menerajui industri perkayuan perabot serta memasuki pasaran eksport.
“Ini kerana menjelang 2030, kita menyasarkan sekitar 100 pereka muda menghasilkan perabot bertaraf dunia.
“Pada masa sama, mereka akan memainkan peranan bagi mempromosi rekaan dan membawa jenama Sarawak ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi dan Jalinan Kasih PUSAKA 2023 Sempena Jubli Emas 50 agensi itu di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Hashim berkata, PUSAKA juga komited untuk terus membawa transformasi dalam industri perkayuan supaya selari dengan perkembangan global.
“PUSAKA juga mengalu-alukan pihak industri lain bekerjasama dengan kita bagi menjayakan transformasi ini terutamanya bagi mereka yang terlibat dalam green product,” katanya.
Ujar beliau, perkara itu juga merupakan pelan strategik untuk memastikan nilai eksport perkayuan mencapai sasaran RM8 bilion yang ditetapkan Kerajaan Sarawak menjelang 2030. – TVS