MUKAH, 14 Feb: Jalan Kebuaw ke Bungan Kecil sepanjang 10.9 kilometer di Igan, bakal mengubah wajah kawasan masyarakat Melanau setelah projek itu siap sepenuhnya pada September 2024, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya.
Menurutnya projek berkenaan dimulakan Mac 2023 menelan belanja RM103 juta dibiayai kerajaan Sarawak merupakan program jangka panjang pembangunan negeri ini selaras dengan usaha membangunkan kawasan pesisir.
“Kerja-kerja pembinaan jalan ini turut meliputi Jalan Spur sepanjang 9.3 kilometer (km) menuju ke kampung dan rumah panjang di sekitar kawasan tersebut”.
Sudah pasti, ia akan membawa suatu manfaat yang besar kepada penduduk di kawasan Kampung Kebuaw, rumah panjang di sepanjang Teluk Deloh, Rumah panjang Jarit, Rumah Lebung dan rumah panjang di sepanjang Batang Igan.”
“Perlu juga difahami, projek ini sebenarnya adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang yang besar oleh kerajaan Sarawak bagi membangunkan kawasan pesisir Melanau, di mana pelan untuk membuka jalan yang baharu, daripada Jambatan Igan terus ke Sibu, kira-kira 70 km yang sedang giat dilakukan secara besar-besaran oleh pihak kerajaan,” katanya ketika dihubungi TVS semalam.
Juanda yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Integriti dan Ombudsman berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg secara prinsipnya bersetuju meluluskan pembinaan jalan dari Sibu ke Kebuaw melalui pakej B, pada 8 jun 2022.
Sementara itu, katanya, pakej A iaitu laluan dari arah Sibu kini sedang dilaksanakan oleh pemaju, Hock Seng Lee.
“Apabila siap pakej A, pakej B dan Jalan Kebuaw ke Bungan kecil di samping jalan daripada Jambatan Igan menuju ke Kebuaw ini kelak siap, sudah pasti ia akan membawa manfaat kepada kawasan pesisir Melanau, iaitu penduduk daripada kawasan Daro, Matu, Daerah Kecil Igan, Dalat, Oya, termasuk daripada sejauh bahagian Mukah juga akan mendapat manfaat,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk agar memberikan kerjasama bagi membolehkan projek berkenaan berjalan lancar.- TVS