LIMBANG, 12 Feb: Gunung Buda yang terletak di bahagian ini berpotensi untuk dimajukan sebagai kawasan pelancongan baharu di utara Sarawak, kata Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, setakat ini kerajaan negeri telah melaksana beberapa pendekatan untuk memacu pertumbuhan sektor pelancongan di sini.
“Ini termasuk membangunkan Gunung Buda sebagai destinasi utama pelancongan di Sarawak.
“Keindahan yang dimiliki di sekitar kawasan gunung ini (jika dipromosikan) boleh menandingi Gua Mulu atau Gunung Mulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Makan Malam Sempena Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Limbang bersama Persatuan Vui Neng Limbang di Dewan Suarah Limbang di sini malam tadi.
Sementara itu, Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut menyeru penglibatan masyarakat setempat untuk berusaha menarik kemasukan pengunjung luar ke daerah ini.
“Sekiranya kita dapat berunding dengan Brunei, Sabah dan Miri, pelancong antarabangsa boleh masuk Brunei dan datang ke Limbang.
“Mereka boleh ke Sabah atau Miri namun boleh singgah di Limbang,” katanya.
Usaha memajukan sektor pelancongan di Limbang kata Abdul Rahman juga boleh dibantu beberapa faktor termasuk kedudukannya yang bersempadan dengan Brunei dan serta berhampiran Indonesia.
“Selain itu kita (Limbang) berjiran dengan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, jadi berkeupayaan untuk tarik pelancong,” katanya. -TVS