IPOH, 2 Feb: Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan dua buah lori dan sebuah treler di Kilometer 352.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Perak berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bidor digegaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 5.13 pagi tadi.
“Kemalangan itu membabitkan pemandu lori berusia 29 tahun tersepit di bahagian tempat duduk pemandu yang memandu kenderaan lima tan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian.
“Dua lagi lelaki masing-masing pemandu lori dan treler selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jurucakap itu berkata anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat serta mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. -TVS