KUCHING, 2 Feb: Sarawak memiliki kerajaan yang berkebajikan dalam menyalurkan bantuan berterusan kepada rakyatnya menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) merangkumi diskaun elektrik, kata Penganalisis Sosiopolitik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
Menurutnya pengumuman Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung khabar baik berkenaan disifatkan sebagai satu usaha yang baik dalam memastikan kesejahteraan rakyatnya.
“Kita lihat pengumuman tersebut bukan sahaja untuk rakyat jelata khususnya di rumah tetapi juga meliputi golongan komuniti perniagaan namun tidak tertakluk untuk golongan berpendapatan rendah sahaja malahan juga kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang, agama dan sebagainya.”
“Ini juga menunjukkan bahawa ketika kerajaan Sarawak memperoleh keuntungan hampir RM12 bilion, makanya rakyat dapat menikmati kembali hasil pendapatan kerajaan dalam bentuk pembiayaan ataupun subsidi yang diberikan,” katanya ketika dihubungi TVS di sini, hari ini.
Menurut Awang Azman lagi, kemampuan Sarawak berbuat demikian untuk menampung keperluan harian dan membantu rakyatnya menerusi kos tarif elektrik adalah berdasarkan hasil daripada pendapatan negeri yang diperolehi.
Tambahnya sambil mencadangkan kemampuan itu boleh diperluaskan dalam pembahagian lain, seperti keperluan air, cukai pintu dan premium tanah. -TVS