LIMBANG, 2 Feb: Bazar Ramadan di Limbang tahun ini kembali meriah dengan penyediaan sebanyak 153 tapak gerai oleh Majlis Daerah Limbang (MDL) di sini.
Wali Kota MDL Kaunselor Sufian Mohat berkata penganjuran kali ini bakal menampilkan kelainan dengan menyediakan kemudahan kanopi kepada para peniaga.
Menurutnya, dua kawasan yang dikenal pasti sebagai tapak bazar di sini iaitu di kawasan Lot 777 dan kawasan parkir berhadapan Bank Rakyat Limbang.
“Penyediaan ini bertujuan untuk memastikan mereka dapat menjalankan aktiviti perniagaan dalam keadaan lebih selesa nanti,” katanya.
Sufian berkata demikian kepada TVS pada sidang media Bazar Ramadan di Pejabat MDL hari ini.
Dalam pada itu, Sufian mempelawa para peniaga di sini untuk memohon menyertai bazar berkenaan.
“Borang boleh didapati bermula pada 13 Februari ini di pejabat MDL,” ujarnya sambil memberitahu beberapa kategori jualan turut disediakan.
Antara kategorinya kata Sufian termasuk berasap, panggang, bermasak, kategori makanan, kuih-muih, minuman, kek biskut dan juga kain dan pakaian.
Beliau berkata pihaknya menetapkan bayaran permit bagi kategori berasap, panggang, bermasak, masakan dan kuih-muih iaitu berjumlah RM230.
“Manakala untuk kategori kek dan biskut sebanyak RM 180 dan untuk bayaran permit bagi kategori kain dan baju iaitu RM300,” katanya lagi.
Menurutnya selain kemudahan kanopi, pihaknya turut menyediakan kemudahan singki selain bekalan elektrik di lokasi bazar Ramadan.
Pada masa sama beliau menasihati jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) mahupun orang perseorangan yang ingin mengadakan bazar Ramadan di kawasan kampung masing-masing agar memohon permit kepada pihaknya.- TVS