KUCHING, 1 Feb: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)Â mengumumkan stesen televisyen berbayar tempatan, Astro dan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) dipilih selaku penyiar rasmi bagi saingan Liga Malaysia 2023.
MFL berkata, penglibatan kedua – dua stesen berkenaan bakal menjanjikan siaran perlawanan serta liputan yang lebih komprehensif bagi Liga Malaysia musim ini demi kepuasan tontonan peminat tanah air.
“Semua perlawanan yang akan disiarkan oleh Astro dalam definisi tinggi (HD) meliputi Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia yang boleh ditonton di platform linear (TV), On Demand dan Astro GO.
“RTM pula akan menyiarkan secara langsung 75 perlawanan Liga Malaysia 2023 merangkumi beberapa saingan termasuk Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia menerusi saluran TV2, Sukan RTM dan TV Okey serta penstriman langsung melalui aplikasi RTMKlik,” kata MFL menerusi kenyataan media di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, musim baharu Liga Malaysia 2023 akan membuka tirai pada 24 Februari depan membabitkan Perlawanan Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim.
“Saya percaya dengan sokongan dan komitmen rakan penyiar tempatan, ia bukan hanya demi kepuasan kualiti tontonan peminat-peminat tanah air malah ia dapat meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia yang akhirnya akan memberikan pulangan besar buat pasukan serta pemain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, gandingan Astro dan RTM selaku rakan penyiar Liga Malaysia musim ini bakal memenuhi kehendak peminat-peminat tempatan yang mahukan satu liputan menyeluruh dan menarik.
“MFL percaya dua rakan penyiar ini berkongsi objektif dan fokus mengenai kandungan yang penting jadi kami telah menemui rakan kongsi terbaik untuk membina semula jenama dan impak Liga Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.-TVS