KUCHING, 27 Jan: TVS akan menayangkan telemovie terbaharu ‘Knotted Strands’, sebuah kisah keluarga, rasa bersalah dan penebusan yang menyentuh hati.
Diterbitkan oleh Owen Choo dan diarahkan oleh Herbert Ho dari Horizn Digital Productions, filem itu dibintangi Basil Tiong sebagai Ah Jun, seorang chef restoran mewah di Singapura yang harus pulang ke tanah air untuk mengambil alih kedai kopi arwah bapanya di Miri.
Filem ini juga menampilkan barisan pelakon termasuk Bryan Ting sebagai abang Ah Jun, Ah Ming, Sim Shu Chin sebagai ibu, Jong Choon Tat sebagai Uncle Soon, Jill Genagan sebagai Kak Jen dan Bong Cheng Tzuu sebagai tauke.
Knotted Strands merupakan satu penghormatan terhadap bandar raya Miri dan sebuah inspirasi bagi mereka yang telah berhijrah untuk mencari sebab untuk kembali.
Filem itu mengisahkan tentang Ah Jun yang bergelut dengan rasa bersalah atas kematian bapanya dan cuba berbaik semula dengan abangnya, diiringi dengan rasa berat hati untuk membantu perniagaan kedai kopi keluarga.
Ibu mereka berharap agar kedua-dua anak lelakinya bersatu satu hari nanti dan meneruskan legasi bapa mereka.
Telemovie berbahasa Mandarin ini disertakan sari kata Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Pengarah Herbert Ho berkata telemovie ini adalah hasil kerja keras dan dedikasi hampir setengah tahun pelakon dan krew yang berbakat.
Di sebalik pelbagai rintangan, filem ini adalah bukti keupayaan masyarakat Miri dan dorongan untuk menceburi bidang perfileman.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton ‘Knotted Strands’ yang disiarkan pada 5 Februari ini pada 9.45 malam di saluran TVS 122 di Astro dan MYTV. – TVS