Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Dewan Muda, DUBS, Nizam Khalyd dan Pengerusi KOBIS, Zaiwin Kassim bergambar bersama peserta bagi Program ‘Digital Marketing Workshop Skillspreneurs’ di Kota Samarahan pada hari ini. Foto: TVS

Usahawan belia Sarawak dibantu kuasai pemasaran digital

KOTA SAMARAHAN, 26 Jan: Dewan Muda Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) bersama Koperasi Belia Inovatif Sarawak Berhad (KOBIS) menganjurkan Program Digital Marketing Workshop Skillspreneurs khusus kepada usahawan belia di sini.

Ketua Dewan Muda DUBS, Nizam Khalyd berkata, program berkenaan dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran usahawan belia di Sarawak dan seterusnya membantu membangunkan perniagaan mereka.

Katanya, inisiatif berkenaan adalah di bawah dana pemerkasaan bumiputera seperti yang telah diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada tahun lepas.

“Objektif program ini adalah untuk merancakkan ekonomi terutamanya dalam kalangan masyarakat bumiputera di Sarawak yang merupakan salah satu pemacu ekonomi yang penting di negeri ini selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak iaitu Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir program berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu Nizam berkata, setakat ini hampir 90 peratus dana telah diagihkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pusat-pusat latihan bagi merancakkan kembali ekonomi sekali gus memberi semangat kepada golongan belia supaya bersemangat untuk menjadi usahawan.

Sementara itu, Pengerusi KOBIS, Zaiwin Kassim berkata program sebegini membuka peluang untuk belia mempelajari ilmu bidang perniagaan dalam jangka masa pendek selain meningkatkan kemahiran mereka.

“Bagi golongan belia yang berminat dengan aktiviti kemahiran, program ini turut mengadakan kursus jangka pendek selama tiga bulan,” katanya.

Program itu kata beliau turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Sarawak (MINTRED).

Sementara itu, seorang peserta, Mohd Syahmi berkata, program itu telah memberi peluang kepadanya yang merupakan jururias rambut untuk mempelajari pelbagai kemahiran baharu dalam bidang perniagaan.

“Program ini memberi impak yang besar terutamanya kepada golongan belia yang berminat dalam kemahiran menggunting rambut kerana tidak semua mahir dalam bidang ini.

“Kemahiran ini susah diperolehi secara percuma. Oleh itu saya gembira kerana dapat sertai program yang dianjurkan oleh DUBS dan KOBIS ini.

“Setakat ini saya telah mempelajari hampir 90 peratus kemahiran menggunting rambut,” katanya.

Bagi Mariner Badong yang merupakan seorang jurusolek, dia akan menggunakan pendedahan yang diberikan untuk menceburi bidang perniagaan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan