KUCHING, 10 Jan: Bukan sekadar menunggang motosikal berkuasa tinggi beramai-ramai tetapi Wings Motor Gang Society (WMGS) telah melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat dengan membantu golongan memerlukan.
Pengasas dan Presiden WMGS, Dato Awie berkata kelab berkenaan beriltizam mengeratkan silaturahim, memperkukuh ekonomi dan kebajikan dalam kalangan ahli-ahlinya tanpa mengira kaum dan agama.
“Kita akan membantu orang yang susah. Kita ada masjid angkat di Songkhla iaitu Masjid Sultan Sulaiman dan sekolah tahfiz di Yala. Kami telah mengumpul dana untuk menyelesaikan hutang dan membina sekolah agama.
“Bantuan berkenaan bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk tetapi adalah untuk dijadikan ikutan para bikers terutamanya di Borneo ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan State Leader dan Division Leader WMGS Sarawak di sini pada malam Isnin.
Awie, penyanyi kumpulan Wings itu berkata lagi, WMGS telah membantu beberapa orang artis dan mereka yang bukan artis yang mengalami kesusahan.
“Setiap Ramadan, kami akan mengumpul dana untuk membantu golongan yang memerlukan, khususnya untuk ahli-ahli. Saya percaya setiap negeri juga ada misi yang sama kerana itu adalah peranan utama menjadi ahli WMGS,” katanya.
Kelab berkenaan telah berkembang sehingga ke luar negara seperti Brunei, Singapura, Thailand dan juga Ireland.
Jumlah keseluruhan ahli WMGS kini adalah seramai kira-kira 280 orang.
WMGS merancang untuk menganjurkan Bike Week pada setiap tahun dalam usaha mengembangkan lagi program kemasyarakatan di seluruh negara.
Mengenai perancangan untuk 2023, Awie berkata, beliau masih lagi dalam proses pembikinan album Wings dan menyusun jadual konsert.
“Saya masih lagi menyiapkan album Wings di studio sekarang ni dan kita merancang untuk membuat persembahan di Melbourne dan Phuket.
“Pada awal Jun, kita merancang satu konsert besar di Kuantan, Pahang dan ini merupakan yang terbesar buat masa ini, jadi kita tunggu dan lihat kerana saya tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang,” katanya. – TVS