KUCHING, 29 Dis: Siput buluh atau lebih dikenali sebagai ambal dalam kalangan rakyat Sarawak amat popular dan sering menjadi pilihan penggemar makanan laut.
Sering menjadi tumpuan, Kampung Buntal pastinya akan sesak dengan pengunjung yang semata-mata untuk membeli ambal.
Musim ambal bermula sekitar awal September sehingga Februari, namun ia bergantung dengan keadaan pasang dan surut air laut.
Seorang pengutip ambal, Norhawa Hasan yang merupakan penduduk Kampung Buntal menceritakan sejak tular di laman Facebook, dia sering menerima panggilan telefon atau mesej daripada pelanggan.
“Alhamdulillah, ramai pelanggan yang nak membeli ambal kerana ia amat jarang dan agak susah untuk mendapatkannya. Jadi pelanggan memang akan menempah dan membeli tidak kira secara bersemuka atau secara dalam talian. Pelanggan akan berebut-rebut untuk membelinya,” katanya kepada TVS.
Wartawan TVS turut menyertai Hawa dan pengutip ambal pada Selasa lepas.
Pada hari berkenaan, Hawa berhasil mengutip ambal kira-kira empat kilogram.
Hawa berkata, kebiasaannya mereka hanya akan mengambil ambal ketika air pasang besar dan itulah risiko yang perlu dihadapi para pengutip ambal.
“Apabila hujan, kerja-kerja mengutip ambal terpaksa dihentikan dan kami akan menunggu di dalam bot sehingga keadaan kembali reda,” ujarnya.
Menurutnya, terdapat dua jenis ambal yang biasanya dijual di Kampung Buntal iaitu ambal kapur dan ambal beruis.
Ambal kapur dikutip di kawasan tepi pantai manakala ambal beruis di laut ketika air surut.
Bagi ambal kapur, ia dijual pada harga RM40 sekilogram, manakala ambal beruis dijual pada harga RM25 sekilogram.
Selain perbezaan dari segi harga, cara pengambilannya juga berbeza yang mana ambal kapur diambil dengan menggunakan kapur dan penugal dan ambal beruis diambil dengan menggunakan besi payung yang digelar beruis.
Jika dibandingkan dari segi saiz pula, ambal beruis ternyata mempunyai saiz yang lebih besar berbanding ambal kapur.
Cara pengambilan ambal ini juga sangat unik. Pengutip ambal perlu berlari untuk membuka laluan bagi mencari mata atau lubang ambal.
Apabila mata ambal telah ditemui, ia akan dicucuk dengan menggunakan beruis dan ambal akan ditarik keluar.
Proses ini amat rumit kerana ia memerlukan stamina dan juga kemahiran untuk melihat mata ambal.
Selain itu, terdapat pantang larang yang perlu dipatuhi oleh setiap pengutip ambal.
Para pengutip ambal perlu menjaga kelakuan, mereka tidak boleh menggunakan sebarang alas kaki seperti kasut atau selipar, tidak boleh menggunakan payung dan tidak boleh celupar. Dikhuatiri mereka akan pulang dengan tangan kosong jika tidak mematuhi pantang larang.
Bagi Hawa yang merupakan generasi baru pengutip ambal, dia hanya mematuhi pantang larang tersebut. – TVS