KUCHING, 22 Dis: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak akan menjalankan satu Op Bersepadu Cegah Jenayah sempena sambutan perayaan Krismas tahun ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata operasi itu bertujuan untuk memerangi jenayah di semua daerah, terutama kes-kes samun tepi jalan, pecah rumah dan lain-lain kes kecurian.
“Selain itu, tujuan operasi ini juga adalah bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut di musim perayaan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bagi kejayaan tangkapan Op Soga XI Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Azman turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga agar kediaman mereka selamat disamping mereka yang balik ke kampung juga selamat sampai ke destinasi.
Bercakap mengenai menjelang cuti perayaan Krismas pada hujung minggu ini, Mohd Azman turut meminta orang ramai serta pemilik premis untuk mengambil langkah keselamatan serta berjaga-jaga bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.
“Antara beberapa langkah keselamatan yang boleh diambil termasuklah memasang alat keselamatan tambahan pada pintu utama dan nyalakan lampu apabila keluar dari rumah,” ujarnya.
Sementara bagi premis perniagaan Mohd Azman mengingatkan untuk jangan meninggalkan sebarang nota penutupan dan jangan sesekali menyembunyikan kunci rumah atau premis di bawah alas kaki, dalam pasu bunga mahupun atas kotak meter elektrik rumah.
“Selain itu, pemilik rumah atau premis disarankan membuat laporan di Balai Polis berdekatan mengenai perancangan mereka untuk meninggalkan rumah atau premis buat sementara waktu, agar rondaan kerap dapat dibuat di kawasan kediaman tersebut,” jelasnya. – TVS