Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pegawai Penguatkuasa KPDN Bintulu menjalankan rutin aktiviti penguatkuasaan di salah sebuah premis peruncitan di Bintulu. Foto KPDN Bintulu.

KPDN Bintulu jamin bekalan barangan keperluan stabil menjelang Krismas

BINTULU, 22 Dis: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Bintulu memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan harian menjelang perayaan Hari Krismas akan terus stabil.

Ketua Cawangan KPDN Bintulu, Nazari Hassan berkata, aktiviti penguatkuasaan akan dipergiatkan lagi di Bahagian Bintulu, Tatau dan Sebauh berikutan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang berkuatkuasa mulai 23 hingga 27 Disember ini.

Katanya, pasukan penguatkuasaan akan turun padang setiap hari untuk memastikan semua peniaga mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Berkenaan dengan bekalan telur Gred A, B dan C di Bintulu juga konsisten, cuma ada kekurangan dari segi jumlah kebiasaannya dan ia nya cepat habis apabila dipamer untuk jualan di pasaran dan ditampung oleh telur jenis Omega dan Selenium,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan yang lebih kerap akan membolehkan pihaknya untuk mengenaipasti zon atau kawasan yang didapati terjejas dengan bekalan dan harga serta tahap keseriusannya.

Disamping itu, katanya pendekatan tersebut juga membolehkan pihak penguatkuasaan untuk mengenal pasti punca utama berlakunya isu rantaian bekalan dan harga barangan keperluan asas.

“Berkenaan dengan rantaian bekalan barang keperluan di Bintulu, pihak Kementerian telah membuat pemeriksaan dan pemantauan terperinci dan bersasar ke atas bekalan barang-barang yang menjadi tumpuan rakyat sebelum musim perayaan,” jelasnya.

Katanya, antara barang tersebut ialah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah dan barang untuk membuat kuih muih.

Justeru itu, katanya, pihaknya juga akan memastikan barang kawalan yang menepati harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan memastikan tiada aktiviti pengambilan keuntungan secara tidak munasabah ataupun mencatut.

“Kita akan memastikan bahawa para peniaga menggunakan peralatan timbang yang telah ditentusahkan oleh pihak yang telah dilantik oleh kerajaan semasa berurus niaga dengan para pengguna,” tegasnya.

Sementara itu, katanya sebanyak 5,244 premis telah diperiksa oleh pasukan penguatkuasaan Bintulu di mana sebanyak 68 kes telah diambil tindakan dalam tempoh 1 januari hingga 15 Disember 2022.

Nazari berkata, dalam tempoh sama, KPDN Bintulu yang sebelum ini dikenali sebagai KPDNHEP Cawangan Bintulu telah mencatatkan rampasan bernilai RM1,352,328.86 serta kompaun berjumlah RM126,650.

Berbanding tahun sebelumnya, pihaknya telah memeriksa sebanyak 4,595 premis dan mencatatkan sebanyak 83 kes melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,928,391.40 serta jumlah kompaun sebanyak RM42,320. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan