KUALA LUMPUR, 17 Dis: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua parti agar mengetepikan perbezaaan politik, sebaliknya menumpukan usaha untuk mewujudkan kestabilan politik sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah itu berkata, dengan wujudnya Kerajaan Perpaduan, setiap parti politik seharusnya berusaha keras untuk menterjemahkan manifesto yang telah dinyatakan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Walaupun kita berkabilah dengan kabilah yang berbeza, namun kita hendaklah mengesampingkan perbezaan pegangan dalam kalangan kita. Jika ada pun perbezaan pendapat, tentu ada kaedah yang harus dilaksanakan secara tasawuf dengan penuh akhlak yang tinggi serta ditangani dengan prinsip siasah Islami.
“Kita harus berpijak di bumi yang nyata dan mengakui realiti bahawa kestabilan politik harus diwujudkan, biarpun berbeza pendapat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan 40 Tahun dan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menyaksikan Perjanjian Persefahaman Antara Gabungan Kerajaan Perpaduan dimeterai semalam.
Beliau turut mengumumkan pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi FELCRA Berhad.
“Pelantikan itu dibuat mengikut peraturan yang baharu… formaliti berkaitan pelantikan ini akan dibuat Datuk Seri Ketua Setiausaha (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) Datuk Seri Ramlan Harun dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu pekeliling memaklumkan semua lantikan politik dalam badan berkanun di tahap kerajaan pusat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan ditamatkan serta-merta. – TVS