KUCHING, 14 Dis: Persatuan Gereja-gereja di Sarawak (ACS) akan mengadakan Sembahyang Krismas Gabungan 2022 di Pusat Ekumenikal Kristian di sini pada 15 Disember nanti, bermula jam 7.30 malam.
Setiausaha Agung ACS Elder Ambrose Linang berkata ia bertemakan ‘Bangsa yang berjalan dalam kegelapan, telah melihat terang yang besar’ yang dihoskan oleh Gereja Roman Katolik.
Uskup Agung Gereja Katolik Kuching selaku Pengerusi ACS Simon Poh akan berkongsi penjelasan mengenai tema tersebut.
“Akan ada doa untuk orang yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, mereka yang menderita kesunyian, kekecewaan, untuk pendatang, pelarian, terlantar akibat peperangan dan konflik, untuk keluarga di seluruh dunia, perpaduan dan pendamaian, agar perpaduan Kristian bersatu dalam membawa sinar harapan kepada dunia dan untuk negara, kerajaan, keamanan dan kestabilan kita untuk menjaga rakyat.
“Bacaan kitab suci dan doa akan dibuat dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, Melanau, Bukar Sadong, Biatah dan Iban,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.
Menurutnya lagi, sembahyang berkenaan dijangka akan dihadiri ketua-ketua gereja termasuk semua penganut Kristian.
“Kami menjemput semua penganut Kristian khususnya di bandar raya Kuching untuk bersama-sama bersatu dan memuji Tuhan dalam sebuah majlis yang menggembirakan ini untuk memperkaya alam rohani seseorang melalui doa dan lagu.
“Ia adalah masa untuk berdoa untuk negeri dan negara kita dan untuk semangat niat baik antara kaum dan budaya. Jangan biarkan polarisasi kaum dan ekstremisme agama memusnahkan struktur masyarakat kita,” katanya. – TVS