LAHAD DATU, 10 Dis: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun berdepan detik cemas apabila seekor buaya cuba membahamnya berdekatan rumah di Kampung Air pada Khamis.
Ketua Polis Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata, difahamkan mangsa sebelum itu cuba turun dari rumahnya untuk mengambil ayam ternakannya.
Menurutnya, sepupu mangsa yang berada berdekatan ternampak buaya terbabit lalu menjerit memberi amaran kepada mangsa untuk menyelamatkan diri.
“Ketika cuba naik semula ke atas jambatan buaya berkenaan sempat menyerang mangsa menyebabkannya cedera di bahagian kaki sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, mangsa kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Lahad Datu dan dilapor berada dalam keadaan stabil.
Rohan dalam pada itu berkata, pihaknya telah mengenalpasti 28 lokasi sarang buaya di daerah itu iaitu di Lahad Datu (13 kawasan), Desa Kencana (8), Tambisan (4) dan di Tungku (3).
“Maklumat ini telah disalurkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar dan Pegawai Daerah Lahad Datu untuk tindakan kerjasama sebagai langkah pencegahan ke arah membanteras serta menangani konflik reptilia ini dengan manusia khususnya di Lahad Datu,” katanya lagi. – TVS