KUALA LUMPUR, 22 Nov: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat berhubung kemelut perlantikan Perdana Menteri Ke-10.
Seri Paduka bertitah, buat waktu ini, belum melihat Akuan Bersumpah yang diserahkan oleh parti – parti politik kepada Istana Negara.
“Saya tidak berani hendak kata, saya tidak boleh dedahkan apa – apa kerana belum lihat lagi (akuan bersumpah),”titah Seri Paduka.
Terdahulu, Sultan Abdullah mencemar duli apabila keluar daripada kenderaan yang dipandu dan menegur sekumpulan petugas media yang bertugas di pintu Istana Negara.
Ditanya bila majlis angkat sumpah Perdana Menteri Ke-10 akan berlangsung, secara bergurau Sultan Abdullah menjawab, baginda juga masih belum pasti.
Sehubungan itu, Seri Paduka turut menasihatkan agar semua pihak bersabar. -TVS