SERIAN, 19 Nov: Pemilih muda dari Simunjan yang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hari ini mengakui berdebar menjalankan tanggungjawab untuk kali pertama.
Pada masa yang sama, keterujaan untuk ‘celup jari’ kata sepasang kembar, Naziha dan Nazifa Mohammad, 18, merupakan pengalaman baharu buat mereka.
“Oleh kerana ini kali pertama kami mengundi, kami kurang arif mengenai proses undian apabila berada di sini secara fizikal. Jadi kami berasa amat gementar,” kata Naziha kepada pemberita TVS apabila ditanya perasaan selepas menurunkan undi sebentar tadi.
Berkongsi lanjut, Nazifa turut mendedahkan dirinya sejurus tiba di pusat mengundi dirinya berasa panik kerana tidak mengetahui bagaimana untuk memperoleh kertas mengundi.
“Tetapi Alhamdulliah semuanya berjalan lancar akhirnya dengan adanya bantuan petugas di pusat mengundi” ujar Nazifa.
Situasi serupa bagi Chang Sze Khan, 25, sambil mengakui hari ini merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan kerana berpeluang mengundi pada PRU-15.
“Ini pertama kali saya pergi mengundi dan saya rasa seronok kerana dapat menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang rakyat,” ujarnya proses pengundian yang cepat juga memudahkan untuk dirinya sebagai pengundi baharu.
Untuk rekod, ketiga-tiga pemilih berkenaan merupakan pengundi bagi Parlimen Serian, di lokasi pusat mengundi di SJK Chung Hua Serian, di sini, hari ini.
Parlimen Serian pada PRU kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Richard Riot Jaem, calon Bebas, Alim Empira, calon Parti Sarawak Bersatu (PBS), Elsiy Tinggang dan calon Democratic Action Party (DAP) Learry Jabul.
Sebelum ini, Dato Sri Richard Riot Jaem, merupakan bekas Ahli Parlimen Serian dan telah menang dengan majoriti undian sebanyak 9,905 mengalahkan calon Pakatan Harapan, Edward Andrew Luwak yang mendapat 7,640 undian dan calon Bebas, Senior William Rade, 2,234 undi. – TVS