KUCHING, 15Nov: Isu urus tadbir, ketelusan dan integriti tidak akan mempengaruhi sokongan rakyat luar bandar terhadap parti yang akan dipilih pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kelak.
Dekan Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UNIMAS, Profesor Dr. Neilson Ilan Mersat berkata, faktor utama yang mempengaruhi pilihan mereka adalah melihat kepada bantuan yang diberikan terutamanya dalam aspek keperluan asas.
“Kalau di kawasan luar bandar isunya ialah keperluan asas, tapi kalau di kawasan bandar keperluan itu sudah meningkat lebih kepada aspek yang lebih tinggi seperti isu nasional”, ujarnya ketika menjadi tetamu di program bual bicara Malaysia Decides terbitan TVS.
Jelasnya, ahli politik yang bertanding haruslah cakna dengan keperluan yang diinginkan pengundi di setiap kawasan sama ada di bandar ataupun luar bandar.
Ini kerana, harapan masyarakat terhadap pemimpin yang dipilih sangat tinggi dalam memperjuangkan nasib mereka.
Mengulas mengenai Undi18 pula, Dr Neilson berkata, golongan ini mempunyai banyak maklumat berkenaan parti politik yang akan mereka pilih.
Katanya, parti politik pada masa kini lebih cenderung berkempen melalui media elektronik yang mana menjadi platfom untuk belia mencari maklumat.
Malah, menurut Dr. Neilson, golongan ini juga lebih gemar membuat pemerhatian setiap manifesto yang dibentangkan oleh parti-parti politik yang bertanding untuk dijadikan sebagai kayu ukur parti yang akan dipilih kelak.-TVS