KUCHING, 8 Nov: Tindakan mengaitkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan parti-parti dari Semenanjung Malaysia merupakan taktik pihak pembangkang untuk mengelirukan masyarakat di Sarawak.
Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Nancy Shukri berkata, GPS kini adalah parti yang bergerak secara solo dan tidak terikat kepada mana-mana parti dari Semenanjung Malaysia.
“Kami membuat keputusan tanpa merujuk kepada mana-mana parti. Orang Sarawak pun tahu kita tidak lagi bersama parti dari sana,” katanya ketika ditemui media semasa sesi tinjauan mesra di Bandar Baru Semariang di sini, hari ini.
Calon GPS bagi kerusi Parlimen Santubong itu menggesa masyarakat tempatan agar tidak terpedaya dengan kaedah yang digunakan oleh pihak pembangkang untuk memelesetkan pendirian GPS.
“GPS adalah sebuah parti terulung dengan misi utama untuk membantu mempertahankan hak orang Sarawak.
“Segala kerjasama bersama parti-parti lain untuk menubuhkan kerajaan akan ditentukan sekiranya GPS menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, ” ujarnya.
Terdahulu, hari keempat kempen bersempena PRU-15 menyaksikan Ketua PBB Cawangan Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi turut bersama menyantuni penduduk di Bandar Baru Samariang. -TVS