LIMBANG, 4 Nov : Pencalonan semula Datuk Hasbi Habibollah sebagai calon GPS kerusi Parlimen Limbang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) amat tepat, kata Ahli Dewan Undangan NegerI (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Beliau optimis rakyat di Limbang memberi sokongan padu kepada kepimpinan GPS demi memastikan perancangan pembangunan yang dirangka oleh kerajaan diteruskan selepas ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah itu juga mengakui pemilihan calon yang diumumkan oleh Pengerusi GPS merangkap Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut dipersetujui rakyat Limbang.
“Alhamdulillah doa kita, doa tuan-tuan dan puan-puan termakbul bahawasanya Haji Hasbi dicalon semula untuk mewakili kita di Parlimen ,InsyaAllah menang tetapi perjuangan belum selesai, esok baru penamaan calon,”katanya.
Bercakap mengenai PRU-15 katanya jentera pilhan raya GPS Parlimen Limbang akan terus bekerja keras demi memastikan kemenangan besar dapat diperoleh pada 19 November ini. – TVS