KUALA LUMPUR, 2 Okt: Empat petinju muda Sarawak dipanggil untuk menyertai sesi pemilihan bagi pembentukan skuad tinju pelapis kebangsaan bermula dari 15 November hingga 31 Disember depan bertempat di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Nilai, Negeri Sembilan.
Pemilihan itu diketuai dua pemenang pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN Kuala Lumpur 2022, iaitu Daeionel McDelon Bong atau lebih dikenali sebagai ‘Kilat Boy’ kategori (54-57kg) dan Jackson Chambai Ikeh kategori (48-51kg).
Turut serta ialah dua pemenang pingat perak di temasya dwitahunan negara itu, Muhammad Rafieq Murshidi kategori (63.5kg) dan Mohd. Helmi Chieng Mohd. Firdaus Chieng kategori (67kg).
Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo berkata, kesemua mereka berada dalam kelompok 18 petinju terpilih untuk menyertai sesi pemilihan tersebut.
“Saya berharap semua petinju tersebut dapat menggunakan peluang ini untuk mempamerkan kehebatan sebenar mereka,” tegas Rahman.
Katanya, ia juga peluang terbaik buat kesemua petinju muda Sarawak itu mengintai ruang bagi menempatkan diri dalam skuad pelapis negara.
“Kita yakin mereka mampu menempatkan diri dalam skuad pelapis negara jika menilai daripada segi prestasi semasa.Apa yang penting mereka perlu lebih fokus dan pergunakan masa yang ada,” tambah beliau lagi. -TVS