Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan menyambung tempoh pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam berkuat kuasa hari ini, dengan harga maksimum ayam serta harga runcit telur ayam dikekalkan. Foto: Bernama.

Kerajaan sambung pelaksanaan penentuan harga maksimum ayam, telur ayam

ByBernama

PUTRAJAYA, 12 Okt : Kerajaan menyambung tempoh pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam berkuat kuasa hari ini, dengan harga maksimum ayam serta harga runcit telur ayam dikekalkan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof berkata Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam itu disambung dengan kadar baharu pemberian subsidi kepada telur ayam sebanyak RM0.08 sebiji kepada peladang.

“Ini berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran dan menyebabkan keperluan penyelarasan semula harga telur ayam di peringkat ladang dan borong, untuk membolehkan harga runcit telur ayam dikekalkan tanpa sebarang kenaikan.

“Harga maksimum ayam pula adalah kekal bagi semua peringkat meliputi ladang, borong dan runcit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, harga maksimum runcit ayam untuk Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard ditetapkan pada RM9.40 sekilogram manakala ayam super pada RM10.40 sekilogram.

Harga maksimum runcit telur ayam bagi gred A ditetapkan pada 45 sen/biji;  gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia. Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum ayam dan telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah.

Mengulas lanjut, Azman berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bekerjasama dengan KPDNHEP dalam membuat pemantauan untuk memastikan bekalan barangan dalam negara sentiasa mencukupi dan harganya terus kekal stabil.

Katanya, seramai 2,249 anggota penguat kuasa telah digerakkan ke lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari.

“Ini bagi memastikan setiap peniaga mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan selain memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menjual barang-barang harga terkawal termasuk ayam dan telur ayam melebihi harga yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya mana-mana pihak didapati gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan