KUCHING, 10 Okt : Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disifatkan Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fatimah Abdullah sebagai lebih mencabar dengan pertambahan jumlah pengundi baharu.
Baca artikel berkaitan:
- 1. TERKINI : Parlimen dibubarkan hari ini – Ismail Sabri
- 2. GPS bersedia hadapi PRU-15, kata Fadillah Yusof
- 3. Tertakluk kepada SPR tetapkan tarikh PRU-15, kata Ismail Sabri
- 4. PRU15: DUN di bawah BN bubar serentak dengan pembubaran Parlimen
- 5. Agong tiada pilihan selain perkenan bubar Parlimen – Istana Negara
- 6. SPR akan adakan mesyuarat khas tentukan tarikh PRU15
- 7. GPS tidak terkesan dengan pengumuman PRU-15, kata Abdul Karim
Bagaimanapun, Wanita PBB bersama sayap wanita parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah melakukan persiapan rapi dalam memastikan kemenangan calon-calon GPS.
“PRU-15 kali ini akan lebih mencabar dengan pertambahan bilangan pengundi baharu antara 18 hingga 28 tahun serta mereka yang berumur lebih daripada usia itu tetapi akan turun mengundi untuk kali pertama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fatimah berkata sayap wanita PBB telah menjangkakan Parlimen akan dibubarkan selepas pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat dan jenteranya sentiasa dalam keadaan bersedia.
Katanya lagi, selepas kemenangan GPS dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak pada tahun lalu, sayap Wanita PBB diarah agar memastikan semangat ahli dan penyokong sentiasa berkobar-kobar untuk menang.
Ini dilakukan dengan memastikan kehadiran mereka dapat dilihat dan dirasai di semua peringkat sama ada di kampung dan rumah panjang mahupun melalui aktiviti berorientasikan kebajikan dan acara sosial, jelasnya.
Fatimah menjelaskan strategi itu dilakukan melalui aktiviti oleh Skuad Sayang dan Biro Wanita PBB untuk mendapatkan keyakinan masyarakat dan mengekalkan keyakinan masyarakat kepada PBB dan GPS sepanjang masa.
Beliau juga berkata pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan sayap Wanita GPS lain iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). – TVS



