KUALA LUMPUR, 30 Sept : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di – Pertuan Agong dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti malam ini yang dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 diadakan pada tahun ini juga,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn di sini malam ini.
Kata Ahmad, perkara itu selaras dengan dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan malah beliau menegaskan keputusan mesyuarat adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak awal iaitu memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik COVID-19.
“Ini setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketan politik sesama mereka,”katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata semua jentera parti di setiap peringkat telah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan bagi memasuki fasa pembubaran sehingga tarikh PRU-15.
”UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi,”katanya. -TVS