KUCHING, 24 Sept : Petinju Sarawak, Daeloniel McDelon Bong gembira kerana impiannya untuk bergelar juara Sukan Malaysia (SUKMA) dan menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen Sarawak menjadi kenyataan.
Petinju kelahiran Sri Aman yang dikenali dengan gelaran ‘kilat boy’ itu berkata, pada percubaan pertamanya di SUKMA 2018, dia sekadar membawa pulang pingat perak.
“Oleh itu hari ini saya sangat gembira kerana berjaya memberikan pingat emas kepada penyokong dan juga rakyat Sarawak,”katanya selepas majlis penyampaian pingat acara itu.
Dalam perlawanan akhir di Putrajaya, Daeloniel yang juga juara kejohanan tinju antarabangsa di Pakistan tahun ini berjaya mencatatkan kemenangan selesa 5-0 ke atas wakil Wilayah Persekutuan (WP), Alif Akmal Azri bagi kategori 54 hingga 57 kilogram (kg) .
Turut cemerlang seorang lagi petinju Sarawak, Jackson Chambai yang menang emas dalam kategori 48 – 51 kg, juga dengan menumpaskan wakil WP.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu yang turut hadir menyaksikan perlawanan akhir berkata, kontinjen Sarawak berterima kasih kepada pasukan tinju hari ini yang memberikan pingat emas.
“Ini hari terakhir SUKMA dan saya berharap agar Sarawak dapat menamatkan kedudukan di tempat keempat atau lima terbaik dari segi pungutan pingat.
“Saya harap rakyat Sarawak dapat terus memberikan sokongan kepada atlet kita pada SUKMA akan datang,”katanya.-TVS