JAKARTA, 8 Ogos : Education Malaysia Indonesia (EMI) melalui kolaborasi strategik bersama Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), mengadakan Malaysian University English Test (MUET) bagi 43 pelajar Indonesia yang akan melanjutkan pengajian di peringkat universiti di Malaysia.
Peperiksaan yang diadakan di Lombok, Nusa Tenggara Barat itu merupakan kali kedua yang dilaksanakan sejak Julai 2019 susulan permintaan yang tinggi pelajar Indonesia.
Penasihat Pendidikan Kedutaan Malaysia di Jakarta, Mohd Mubarak Shamsuddin berkata MUET menawarkan yuran yang lebih murah kosnya dari ujian kemahiran bahasa Inggeris lain seperti International English Language Testing System (IELTS) atau Test of English as a Foreign Language (TOEFL)..
“Yurannya hanya sekitar 2000000 Rupiah atau RM600.
“Sudah pasti MUET menjadi pilihan utama sebagai tiket untuk pelajar antarabangsa khususnya dari Indonesia melanjutkan pengajian tinggi ke Malaysia,” katanya.
Ujian kemahiran bahasa inggeris merupakan salah satu syarat kemasukan ke universiti di Malaysia, dan MUET adalah serupa dengan peperiksaan IELTS dan TOEFL.
Tambahnya yuran yang murah dan kualiti program yang ditawarkan menjadi tarikan utama pelajar Indonesia melanjutkan pengajian di Malaysia.
“Hal Ini terbukti dengan keberadaan 170,000 mahasiswa asing di Malaysia dari lebih 160 buah negara seluruh dunia dan 11,000 antara nya merupakan pelajar daripada Indonesia,” katanya lagi. – TVS



