KUCHING, 8 Ogos : Seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai berdekatan Kampung Tanjong Katong, Sundar, Lawas petang semalam.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, mangsa Nabil Suhaili sedang mandi bersama lima orang rakannya di Sungai Sundar kira-kira jam 2.50 petang.
“Pada jam 3.10 petang, rakan-rakan menyaksikan mangsa yang ketika itu hanya memakai seluar hitam hanyut dibawa arus sungai.
Rakan mangsa cuba menyelamatkannya tetapi tidak berdaya kerana arus sungai ketika itu deras,” jelas kenyataan itu.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai Ketua Balai BBP Lawas, PPgB Azman Ibrahim dijalankan dengan kekuatan lima anggota bomba dan bantuan 20 orang kampung dari jam 3.30 petang dan ditangguh pada jam 7 malam semalam.
Operasi pencarian menggunakan kaedah Water Surface Searching (mencari dipermukaan air) dengan radius 5kilometer (km) sepanjang Sungai Sundar menuju ke hilir serta pencarian ditepi sungai.
Operasi SAR mencari mangsa bersambung hari ini. – TVS



