KUCHING, 8 Ogos: Acara renang terbesar Sarawak, ‘2nd Sarawak Short Course Sprint 2022’, akan berlangsung di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini pada 13 dan 14 Ogos.
Â
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Power Aquatics Swimming Club, pertandingan tersebut bakal disertai seramai 529 perenang dari 20 pasukan Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand dengan 16 daripada 20 pasukan terbabit adalah dari luar Sarawak.
Â
“Pertandingan ini adalah dengan kerjasama Sarawak Sport Corporation (SSC) dan disokong oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.
Â
“Acara bakal dimulakan pada 7.30 pagi setiap hari, diikuti dengan majlis penutup pada 4.30 petang pada 14 Ogos.
Â
“Penutupan pertandingan tersebut bakal dilakukan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Â
Pada 13 Ogos, jamuan makan malam alu-aluan akan diadakan sebagai penghargaan dan meraikan penyertaan mereka dalam acara itu.
Â
Menurut penganjur pertandingan tersebut, Voon Yong Hui, ia mendapat sambutan yang baik kerana penyertaan mencapai sasaran jangkaan iaitu 500 peserta.
Â
“Kali ini kami mempunyai lebih banyak pasukan yang datang ke Sarawak, ini merupakan peluang yang baik untuk menunjukkan kemudahan bertaraf dunia yang kami miliki. Kami juga berharap dapat mempopularkan sukan renang di Sarawak.
Â
“Jelas bahawa sukan mempunyai cara untuk menyatukan orang ramai sekaligus menggalakkan pelancongan di Sarawak.” katanya. -TVS