KUCHING, 7 Ogos : Sarawak menghargai kebebasan untuk membuat keputusan sendiri demi kemajuannya, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Premier Sarawak itu, sebagai contoh Strategi Pembangunan Pasca Covid 2030 Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang dilancarkan oleh Kerajaan Sarawak telah membuktikan negeri ini mampu membuat keputusan sendiri dalam memenuhi aspirasi rakyat.
Beliau berkata, Ketika ini Sarawak telah mengorak langkah ke arah ekonomi yang dicorakkan oleh kemajuan teknologi dan kelestarian sumber di samping turut memberi perhatian serius terhadap usaha global untuk menangani perubahan iklim.
“Sarawak amat menghargai sedikit kebebasan untuk membuat keputusan sendiri demi kemajuan di sini supaya suatu hari nanti akan setanding dengan kawasan – kawasan lain yang sudah maju di negara ini.
“Saya yakin jika Sarawak maju, Malaysia juga maju,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sarawak di sini, hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam pada itu Abang Johari turut memberi penghargaan Kepada kepimpinan Ismail Sabri yang meraikan Sarawak untuk sama-sama menjulang semangat Keluarga Malaysia.
“Sebagai sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang besar, saya pasti Perdana Menteri dan barisan para pemimpin di peringkat keluarga besar ingin melihat keluarga kecil Sarawak juga berjaya dalam apa jua program pembangunan yang dilaksanakan,”katanya.
Abang Johari berkata, hala tuju ekonomi yang diberi tumpuan ketika ini bermatlamat untuk mengangkat Sarawak kepada ekonomi yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030. -TVS