KUCHING, 7 Ogos : Kerajaan memutuskan untuk meneruskan Fasa 2 Projek Sarawak – Sabah Link Road (SSLR) yang akan menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei, kata Perdana Menteri.
Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Projek Fasa 2 SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng di Lawas akan menghubungkan Mulu hingga Long Merarap sejauh 326 kilometer (km) dengan kos RM7.68 bilion.
“Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan.
“Kerajaan turut menambah baik jaringan jalan raya sedia ada antara Miri ke Limbang dan Lawas melalui Brunei di bawah Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB), melibatkan kerja-kerja naik taraf sepanjang 96.351km bagi tempoh tiga tahun dengan kos berjumlah RM2.93 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, projek berkenaan akan menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi setempat kerana Lebuh Raya Pan Borneo mula memberi impak positif.
“Ianya juga akan membawa limpahan ekonomi kepada Keluarga Malaysia yang berniaga di Pasar Tamu Simpang Bekenu,”katanya. -TVS