Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai delegasi Sarawak mengadakan mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan di United Kingdom yang bertanggungjawab menguruskan dana kekayaan berdaulat negara berkenaan. Foto Pejabat Premier Sarawak.

Abang Johari bertemu pihak berkuasa Dana Kekayaan Berdaulat UK

ByFirdaus Ismail

KUCHING, 29 Julai : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai delegasi Sarawak bertemu dengan pegawai International Forum of Sovereign Wealth Funds (IFSWF) dan PriceWaterhouseCoopers (PWC) sebagai sebahagian daripada kajian sebelum menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak.

Abang Johari dalam ucapan ringkas sebelum taklimat bersama IFSWF dan PWC di London berkata, Sarawak berharap untuk mempelajari amalan terbaik mengenai strategi pelaburan, pengurusan dan tadbir urus Dana Kekayaan Berdaulat United Kingdom.

Katanya, beliau juga berharap dapat diberi maklumat mengenai rangka kerja, undang-undang dan dasar ke arah penubuhan dana berkenaan.

“Kedudukan kewangan Sarawak kini agak kukuh, oleh itu kerajaan negeri mahu menjana pendapatan daripada lebihan dana untuk manfaat generasi akan datang,” katanya.

Turut menyertai delegasi Abang Johari ialah dua Timbalan Premier iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Rombongan juga terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Negari Sarawak, Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid dan Setiausaha Kewangan Negeri, Datu Dr. Wan Lizozman Wan Omar.

Menurut laman webnya, IFSWF yang ditubuhkan pada 2008 merupakan organisasi sukarela dana kekayaan berdaulat global yang komited untuk bekerjasama dan mengukuhkan komuniti melalui dialog, penyelidikan dan penilaian berterusan.

Abang Johari seterusnya dijadualkan bertemu Pengurus Dana UK Government Investment Ltd (UKGI), iaitu sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh HM Treasury untuk memahami struktur dan dasar di samping mendapat nasihat pakar tentang pembangunan Dana Kekayaan Berdaulat.

Sebelum ini, Abang Johari berkata, satu ordinan akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November depan bagi menyediakan rangka kerja perundangan pembentukan dana itu.

Premier Sarawak sebelum ini telah ke Norway dan Singapura untuk meninjau tentang model yang digunakan oleh kedua – dua negara berkenaan dalam menguruskan Dana Kekayaan Berdaulat masing – masing. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan