Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) mengekalkan buaya sebagai  ‘the last relics of living dinosaurs’ yang masih wujud di Bumi Kenyalang bagi memastikan buaya kekal terpelihara untuk tatapan generasi akan datang. Foto: Aziz Soleh

Mencari titik damai perseteruan sang buaya dengan manusia di Sarawak

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING,17 Jun : Sering berdepan konflik dengan manusia, buaya sebenarnya merupakan haiwan purba yang dilindungi di Sarawak di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) mengekalkan reptilia ini sebagai  ‘the last relics of living dinosaurs’ yang masih wujud di Bumi Kenyalang bagi memastikan buaya kekal terpelihara untuk tatapan generasi akan datang.

Namun begitu, habitat buaya kini dilihat terancam disebabkan pelbagai faktor.

Di sisi lain pula, sang bedal turut menjadi ancaman kepada manusia kerana tiada penempatan khusus yang mencukupi memandangkan jumlahnya yang  semakin bertambah.

Sempena Hari Buaya yang disambut pada tarikh ini setiap tahun, pelbagai pihak tampil dengan idea yang mungkin boleh dilaksanakan untuk ‘mendamaikan’ buaya dengan manusia atau mencari situasi ‘menang – menang’ untuk kedua – dua pihak.

Pada masa sama, ia juga diharap dapat menyelamatkan nyawa manusia dari ancaman ganas reptilia ini jika kita melihat statistik kes serangan buaya yang dikeluarkan pihak berkuasa baru – baru ini.

Menambah ‘penempatan’ buaya

Ketika ini, terdapat hanya empat penempatan khusus untuk buaya yang dibuka di Sarawak iaitu Jong Crocodile Farm Kuching, Miri Crocodile Farm, Sibuti Wildlife Centre dan Matang Wildlife Centre.

Jumlah berkenaan jelas tidak mencukupi jika mengambil kira populasi buaya yang dianggarkan melebihi 50,000 ekor di sepanjang 45 batang sungai di Sarawak.

Sebelum ini, ada juga laporan menyebut berdasarkan survei yang dilakukan terdapat lapan hingga 12 ekor buaya dalam setiap kilometer di beberapa sungai di negeri ini.

Ini membawa maksud anggaran populasi buaya di negeri ini ialah 180,000 ekor menurut Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

Jelaslah jumlah empat ‘taman perumahan’ buaya itu tidak mencukupi.

Pengurus Jong Crocodile Farm, Teoh Yiaqing ketika diminta berkongsi pandangan tentang isu ini berkata, dia bersetuju sekiranya lebih banyak ‘taman perlindungan buaya’ dibuka di Sarawak dengan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya ekonomi.

Katanya, ketika ini hanya terdapat dua spesies  yang ‘kerap’ dijumpai iaitu buaya air masin atau nama saintifiknya Crocodylus Porosus.

Satu lagi spesies yang sering ‘menunjukkan dirinya’ kepada manusia ialah Malayan False Gharial atau Tomistoma Schlegelili.

Laporan khas [Siri 1] Buaya : Antara dijaga dan diburu.

“Sekiranya lebih banyak penempatan habitat reptilia itu dibangunkan, ia dapat dimanfaatkan pelbagai pihak.

“Ini kerana buaya merupakan khazanah tidak ternilai dimiliki Sarawak serta mampu menjadi penyumbang kemasyuran negeri kepada dunia seperti Harimau Malaya yang berjaya melonjakkan nama Malaysia di persada dunia.

“Buaya perlu dilindungi serta pada masa sama kita memperkenalkan buaya ini ke peringkat antarabangsa sebagai  simbolik Sarawak,” katanya kepada TVS baru – baru ini.

Teoh turut memberi contoh bagaimana China terkenal kerana ‘mengkomersialkan habitat panda manakala Taiwan pula mempromosikan habitat beruang.

Di kalangan masyarakat pula, walaupun bimbang dengan berita serangan buaya kebelakangan ini, ada yang mahu supaya habitat reptilia itu dilindungi.

Alexson Witi berkata, mengambil kira keluasan Sarawak, kerajaan negeri mungkin boleh membuka pusat penempatan buaya di setiap daerah.

“Kita patut menubuhkan koloni seperti di Singapura iaitu sesuatu spesies haiwan akan ditempatkan di kawasan khusus dan manusia tidak perlulah pergi ke situ,” katanya.

Melalui pertambahan penempatan buaya pula katanya, ia bukan sahaja dapat melindungi ‘raksasa sungai’ itu malah turut membantu pendidikan kerana boleh memberi kefahaman kepada masyarakat  tentang kewujudan buaya sebagai pengimbang ekosistem alam.

Penternakan dan Perladangan

Dikenali sebagai haiwan pemangsa, buaya antara reptilia yang amat digeruni kerana sifatnya yang ganas.

Namun, disebalik ganasnya buaya itu, terdapat manfaat yang boleh menguntungkan masyarakat setempat.

Ketua Samarahan Crocodile Hunter (SCH) Franchis Chai berkata, sejak berdekad lamanya, buaya di Sarawak menjadi bualan masyarakat global selepas ia dieksport ke zoo di serata dunia.

Katanya, ‘populariti’ buaya bukan sahaja mencanak kerana faktor ia sebagai haiwan pemangsa, namun disebabkan keunikan reptilia itu yang hanya dijumpai di Sarawak sekaligus menyebabkannya ‘sering dicari’.

“Berdasarkan pengetahuan saya, beberapa negara luar menyatakan minat untuk membeli buaya daripada negara kita terutamanya Sarawak kerana terkenal dengan corak kulitnya yang cantik.

“Kita tahu Sarawak terkenal dengan Bujang Senang yang telah membuka mata orang di luar negara mengenai Sarawak sebagai lokasi yang mempunyai potensi untuk menjadi pengeksport utama.

“Pada tahun lepas, terdapat pelanggan dari Jepun yang membeli buaya di ladang kita,” katanya.

Menyifatkan cadangan kerajaan untuk menjadikan buaya sebagai haiwan penternakan dan perladangan sebagai idea yang bernas, Franchis berkata, penternakan buaya terbukti mampu menjana  pendapatan lumayan.

“Namun ia harus disokong dengan bantuan kerajaan terutamanya dalam menyediakan fasiliti.

Laporan khas [Siri 2] Bujang Senang dan manfaatnya.

“Saya berharap kerajaan negeri boleh sediakan satu tempat yang sesuai untuk kita usahakan habitat buaya sebab kita tahu buaya katak (Crocodylus Porosus) yang ditemui di Sarawak mempunyai kulit berharga tinggi,” katanya.

Katanya, terdapat kepercayaan bahawa lemak buaya boleh menghasilkan minyak untuk merawat luka dan penyakit kulit.

Mengambil contoh negara jiran, Thailand yang menjadikan sektor perusahaan dan penternakan buaya sebagai salah satu punca pendapatan, Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) turut menggalakkan lebih ramai usahawan tempatan berjinak-jinak dalam sektor berkenaan.

Pegawai Hidupan Liar (SFC), Dr. Mohd. Izwan Zulaini berkata, pihaknya sebagai badan yang bertanggungjawab untuk mengurus hidupan liar di Sarawak ingin melihat potensi buaya di Sarawak dimanfaatkan untuk menjana ekonomi rakyat.

“Antara aktiviti yang boleh dimanfaatkan ialah eko pelancongan, perladangan buaya dan juga program ‘ranching’ iaitu penduduk tempatan mengambil upah mengumpul telur buaya daripada sarang dan dijual kepada ladang buaya.

“Ini dilakukan oleh Thailand yang menjadikan perladangan buaya sebagai penyumbang kepada ekonomi mereka,” katanya.

Langkah tersebut dilihat mampu membawa Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi lebih-lebih lagi apabila kerajaan negeri menjalinkan kerjasama dengan pakar reptilia dari Australia, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat termasuk kumpulan pakar buaya dari Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) yang akan membantu terutama dalam aspek penternakan dan perladangan.

Namun begitu, perkara ini tidak mudah untuk direalisasikan kerana persepsi dan kefahaman masyarakat yang hanya melihat reptilia tersebut sebagai ancaman dan tiada fungsi.

Jika dilihat pada sisi positif, masyarakat wajar mengubah tanggapan mengenai sang bedal  dengan melindungi habitatnya  serta memanfaatkan khazanah bernilai di Bumi Kenyalang ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan