Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Dato’ Abang Iskandar Abang Hashim hadir pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Penghukuman Bagi Jenayah Hidupan Liar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuching, di sini hari ini.

Garis panduan bantu hakim dalam hukuman jenayah hidupan liar

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 16 Jun : Garis Panduan Penghukuman Bagi Jenayah Hidupan Liar di Sarawak dilancarkan hari ini yang merupakan inisiatif Mahkamah Tinggi Kuching melalui Kumpulan Kerja Alam Sekitar Sarawak (SWGE).

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Dato’ Abang Iskandar Abang Hashim berkata, garis panduan berkenaan diwujudkan bagi membantu hakim untuk menjatuhkan hukuman yang adil dan konsisten terhadap pelaku jenayah hidupan liar.

Jelasnya, keberkesanan garis panduan berkenaan boleh dilihat melalui dua cara iaitu melalui pengalaman hakim dan pegawai kehakiman yang menggunakannya dalam tugas harian mahkamah.

“Yang kedua melalui kajian menyeluruh tentang trend hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah dalam kes-kes terdahulu.

“Untuk kaedah pertama, saya pasti hakim-hakim Mahkamah Sesyen di Sabah akan dapat berkongsi pengalaman mereka dengan kita di Sarawak tentang bagaimana Garis Panduan Penghukuman telah membantu memperbaiki penilaian mereka dalam melaksanakan hukuman yang sepatutnya,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Penghukuman Bagi Jenayah Hidupan Liar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuching, di sini hari ini.

Berhubung kaedah kedua, Abang Iskandar memberitahu, beliau telah mencadangkan supaya Kumpulan Kerja Mahkamah mengenai Alam Sekitar di kedua-dua negeri menyediakan laporan mengenai konsistensi hukuman bagi semua kesalahan hidupan liar di bawah perundangan sedia ada.

“Usaha ini bermula pada 2020 dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada World Wildlife Fund (WWF) Malaysia.

“Satu siri perundingan untuk menyemak garis panduan itu telah dianjurkan pada tahun ini melibatkan badan kehakiman, agensi penguatkuasaan undang-undang hidupan liar dan badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar,”katanya.

Pada masa sama, beliau menyuarakan keyakinan bahawa garis panduan itu akan menjadi simbolik kemajuan ketara dalam usaha mahkamah dalam melaksanakan hukuman yang adil dan konsisten terhadap pesalah jenayah hidupan liar. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan