KANOWIT, 13 Jun : Hanya minum air sungai untuk meneruskan hidup.
Itu yang dilakukan oleh seorang lelaki warga emas yang hilang di hutan Secungkil, Sungai Lipus sejak lima hari lepas.
Mangsa, Jampi Leban, 79, ditemui dalam keadaan lemah oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu kilometer (km) dari pondok kebunnya di Ulu Lipus dekat sini pada pukul 2.41 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, Penolong Penguasa Bomba, Arrahman Chik berkata, ketika ditemui, mangsa kelihatan sangat lemah serta terdapat kesan luka di bahagian kedua-dua kakinya.
“Mangsa dibawa keluar dari tempat berkenaan dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Kanowit untuk menerima rawatan selanjutnya,”katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Menurutnya, kehilangan Jampi disedari oleh anaknya selepas ayahnya pergi ke kebun di lokasi kejadian pada pukul 6 pagi Rabu lepas.
Katanya, usaha pencarian telah dilakukan oleh penduduk rumah panjang namun tidak berhasil dan laporan polis dibuat pada keesokan harinya. -TVS