Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Ratu Great Britain Ratu Elizabeth II, atas sambutan Jubli Platinum yang bermula pada Khamis lepas.

Agong zahir ucapan tahniah kepada Ratu Elizabeth II sempena ulang tahun ke -70

KUALA LUMPUR, 5 Jun :  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Ratu Great Britain Ratu Elizabeth II, atas sambutan Jubli Platinum yang bermula pada Khamis lepas.

Sambutan berkenaan diadakan bersempena ulang tahun ke-70 Ratu Elizabeth II bersemayam di atas takhta kerajaan Great Britain.

Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa suka cita kerana Ratu Elizabeth II dikurniakan kesihatan yang baik dan usia yang panjang, menjadikan baginda sebagai Ratu paling lama memerintah dalam sejarah Britain.

Seri Paduka turut menyifatkan Ratu Elizabeth II sebagai pemerintah yang prihatin terhadap kebajikan rakyat dan berdedikasi berkhidmat kepada rakyat Britain dan juga Komanwel, selain mendoakan baginda dikurniakan keafiatan yang berpanjangan, kebijaksanaan dan kekuatan, untuk terus bersemayam di atas takhta kerajaan Great Britain.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan semoga hubungan dua hala sedia ada yang rapat serta mesra antara Malaysia dan Britain, akan terus dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan,” menurut hantaran itu.

Mengimbas kenangan hubungan mesra antara kedua-dua negara dan para pemimpinnya, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 13 Dis 2019, telah berkenan berangkat membuat kunjungan hormat ke atas Ratu Elizabeth II dan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama baginda di Istana Buckingham, London.

Kunjungan hormat dan majlis santapan tengah hari itu adalah bersempena Lawatan Khas tujuh hari Seri Paduka berdua ke England bermula pada 9 Dis 2019.

Dalam lawatan berkenaan, Al-Sultan Abdullah turut berkenan melawat Westminster Abbey, yang merupakan salah satu tempat ibadat tersohor di United Kingdom dan juga menjadi tempat pemahkotaan serta pengebumian tradisional untuk raja-raja Inggeris.

Selain itu, pada 10 Sept 2019, Seri Paduka berdua telah berkenan menerima menghadap Earl of Wessex Putera Edward di Istana Negara, sempena lawatan dua hari ke Malaysia bagi menghadiri Persidangan Serantau Asia Pasifik Duke of Edinburgh International Award, dalam kapasitinya selaku pemegang amanah Yayasan Duke of Edinburgh’s International Award.

Ratu Elizabeth II, sepanjang pemerintahan baginda, telah melawat Malaysia pada 1972 (Lawatan Khas), 1989 (Mesyuarat Ketua Negara Komanwel ke-11) dan 1998 (Temasya Sukan Komanwel ke-16).

Selain Ratu Elizabeth II dan Earl of Wessex, Kerabat Diraja Britain yang telah mengadakan lawatan ke Malaysia adalah pasangan Diraja Duke dan Duchess of Cambridge Putera William dan Catherine, pada 2012 serta pasangan Diraja Prince of Wales dan Duchess of Cornwall Putera Charles dan Camilla pada 2017.

Pasangan Diraja Duke dan Duchess of Cambridge pada 2012 telah mengadakan lawatan dua hari ke Sabah, mewakili Ratu Elizabeth II sempena sambutan ulang tahun ke-60 pemerintahan baginda.

Manakala, pasangan Diraja Prince of Wales dan Duchess of Cornwall telah mengadakan lawatan tujuh hari ke Malaysia pada 2017, sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan