KUCHING, 5 Mei : Sarawak mempunyai pasaran digital dan ekonomi hijau yang luas.
Demikian ditegaskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memaklumkan bahawa negeri ini juga diiktiraf sebagai satu-satunya negeri di Asia yang mempunyai dasar yang mampu untuk membawa transformasi ke arah ekonomi hijau sekaligus menyumbang kepada persekitaran yang bersih.
Jelasnya, Sarawak telah pun memeterai beberapa perjanjian dengan negara Korea dan Jepun untuk tujuan penghasilan tenaga hidrogen.
“Kita mempunyai tiga sumber iaitu yang pertama adalah air. Kita mempunyai banyak sumber air yang berfungsi memecahkan hidrogen dengan oksigen kepada hidrogen, dan ini adalah tenaga hijau.
“Kedua, tenaga boleh diperbaharui biru iaitu ekonomi biru yang berpunca daripada gas. Dan yang ketiga adalah melalui solar yang juga boleh mengeluarkan hidrogen.
“Ini bermakna apa yang berlaku di dunia sekarang adalah berkisar kepada ekonomi baru,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN N26 Gedong di salah sebuah hotel di Kuching, di sini, hari ini.
Sementara itu, Abang Johari memaklumkan bahawa beliau akan berangkat ke Belanda pada minggu hadapan setelah dijemput untuk berucap pada Forum Hidrogen Dunia di Rotterdam.
“Saya akan berkongsi sedikit sebanyak dasar kita kepada dunia dan Insyallah dengan adanya perkenalan ini, saya rasa pelaburan ekonomi hijau akan mengarah ke kawasan kita khasnya untuk kawasan Asia Tenggara,” katanya lagi. – TVS



