MUKAH, 5 Mei : Setiap pemimpin masyarakat mempunyai pendekatan berbeza dalam meraikan sambutan Syawal bersama masyarakat akar umbi.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, yang juga Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman, Datuk Dr Juanda Jaya, beliau memanfaatkan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dengan mengunjungi lebih 40 buah rumah penduduk di kawasannya
Menurutnya, pada hari pertama Aidilfitri, sebanyak 28 buah rumah dikunjunginya, dan pada hari kedua Aidilfitri, beliau pergi ke 20 buah rumah.
“Antara yang sempat dikunjungi terdiri daripada kediaman pemanca, penghulu, ketua kaum, tokoh masyarakat, termasuk rakan-rakan serta kaum kerabat dan saudara mara.

“Ini adalah kunjungan balas kita terhadap mereka yang turut pernah melakukan kunjungan pada hari raya sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Beliau menambah, antara tujuan lain kunjungan tersebut adalah untuk mengetahui perkembangan lanjut hal yang berlaku di setiap kampung selain bagi memastikan keselamatan komuniti di setiap kampung.
Bagaimanapun, katanya, terdapat sesetengah kampung pada tahun ini yang membuat keputusan untuk tidak mengadakan rumah terbuka kerana masih bimbang mengenai penularan COVID-19.
“Sebagai contoh, beberapa kampung di sekitar Igan yang setiap tahun tidak akan terlepas mengadakan majlis berlanggar meja, namun ketua masyarakat di situ telah memutuskan untuk tidak melaksanakannya pada tahun ini,
“Hal ini kerana mereka mengetahui keadaan masyarakat dan dapat menilai situasi yang lebih selamat serta perkara yang lebih perlu diutamakan di kawasan mereka.
“Kita juga ingin menasihatkan penduduk yang beraya kali ini agar sentiasa berhati-hati serta mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga,” katanya lagi. – TVS



