Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tangkapan layar video yang tular di media sosial menunjukkan kebakaran di tapak pelupusan mercun dan bunga api di sebuah Stor Penyimpanan Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini semalam yang telah mencederakan tiga pekerja pembersihan.

Tiga cedera dalam letupan ketika bersihkan tapak pelupusan mercun, bunga api di Sentul

ByBernama

KUALA LUMPUR, 27 April : Tiga pekerja pembersihan cedera semasa menjalankan kerja-kerja membersihkan tapak pelupusan mercun dan bunga api di sebuah Stor Penyimpanan Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata dalam kejadian 6.15 petang semalam, tiga lelaki yang berasal dari Sabah itu diupah bagi membersihkan kawasan pelupusan rampasan mercun dan bunga api yang dilakukan pihaknya pada pukul 3 petang semalam.

“Ketika membersihkan kawasan, api dilaporkan tiba-tiba terpercik di dalam tong sampah RORO (Roll On Roll Off) yang digunakan untuk menempatkan sisa pelupusan sebelum berlaku beberapa siri letupan dipercayai mercun. 

“Ketiga-tiga mangsa berusia 25 hingga 30 tahun telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian semalam. 

Mengulas mengenai prosedur digunakan polis ketika melupus barang kes (mercun dan bunga api), Beh berkata ia dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

“Kerja pelupusan ini telah menerima kelulusan dari Mahkamah Majistret 2 Kuala Lumpur yang membenarkan ia dilupuskan menggunakan SOP polis.  Majistret juga turut hadir menyaksikan kerja pelupusan yang selesai pada 4.30 petang,” katanya. 

Beh berkata tiada unsur khianat dalam kejadian berkenaan serta tidak menolak faktor cuaca panas hari ini memungkinkan berlakunya percikan api  sebelum meletup dan terbakar. 

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan malam ini memaklumkan,  pihaknya menerima laporan kebakaran pada 6.20 petang semalam dan mengerahkan 60 anggota dan 10 jenteranya ke lokasi di Jalan Perhentian, di sini. 

Menurut kenyataan itu, kebakaran melibatkan 30 peratus struktur bangunan dan 80 peratus kawasan terbuka serta 50 kenderaan yang merupakan barang kes di lokasi kejadian. 

“Bomba menggunakan teknik offensive (memadam kebakaran dari dalam bangunan) and defensive (memadam kebakaran dari luar bangunan) firefighting. Kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira pukul 7.05 malam dan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran sedang disiasat,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Al Kasim, 30-an, berkata sebelum kejadian dia sedang membersihkan longgokan sampah di stor berkenaan.

“Tiba-tiba saya saya terdengar percikan api besar dari tong sampah besi lalu meletup dengan kuat. Saya terus melompat dari lokasi letupan lalu kaki saya terseliuh dan percikan mercun mengenai bahagian belakang saya,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Sunjeet Kaur, 47, yang berada berhampiran dengan lokasi kejadian berkata dia dikejutkan dengan beberapa bunyi letupan kuat.

“Sewaktu kejadian saya hendak membeli makanan di bazar berhampiran. Saya melihat asap tebal menjulang tinggi,” katanya.

Hari ini, polis melupuskan 1,059 kotak dan 35 guni mercun dan bunga api pelbagai jenis di stor berkenaan. Mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM4.1 juta yang dirampas pada Mac lepas itu dipercayai untuk di[pasarkan semasa Aidilfitri ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan