KUCHING, 27 April : Kes kemalangan di Sarawak pada tahun lepas menunjukkan penurunan ketara sehingga 22 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pada 2020 sebanyak 26, 686 kemalangan dilaporkan manakala pada tahun lepas, hanya 20 788 yang direkodkan.
“Jumlah kemalangan membabitkan dua kategori kenderaan iaitu motosikal dan kereta juga berkurangan,”katanya menerusi kenyataan media semalam.
Sementara itu, Kim Shin berkata, perlaksanaan Op Bersepadu Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan tetap diteruskan walaupun kes kemalangan berkurangan.
Ujar beliau, operasi kali ini akan menumpukan tujuh kesalahan lalu lintas utama yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya.
“Antaranya menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu, tidak patuhi lampu isyarat dan memandu melebihi had laju,”katanya.
Pada masa sama beliau memberitahu, pihak berkuasa juga akan memberi perhatian kepda sikap pemandu yang gemar memotong di garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang, membawa muatan lebih dan berbahaya.
Bertemakan Pandu Cermat, Sampai Selamat, Op Bersepadu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bermula pada 29 April sehingga 8 Mei depan. -TVS