SARIKEI, 24 April : Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan selama hampir sejam selepas tersepit dalam lorinya yang terbabas di Jalan Selalang di sini hari ini.
Difahamkan, kejadian pada pukul 9.50 pagi tadi, lori itu dalam perjalanan ke Sarikei.
Setibanya di lokasi, kenderaan dipandu lelaki berusia 30 tahun itu hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, seramai lapan anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.57 pagi.
“Mangsa yang tersepit pada papan pemuka dan tempat duduk pemandu,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau memberitahu, anggotanya mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan ‘Res q Tech’ dan penarik dari jentera untuk membuka ruang dan seterusnya menyelamatkan pemandu itu.
Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menerima rawatan. -TVS