SARIKEI, 23 April : Seekor ular sawa batik sepanjang dua meter sempat menelan seekor itik sebelum ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei, di Jalan Sare di sini, pagi semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan Pertahanan Awam, Shahrol Azizi Zaidi berkata, sepasukan tiga anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.35 pagi.
Sebaik tiba di lokasi katanya, reptilia itu didapati telah memakan seekor itik yang berada di dalam reban berkenaan.
“Ular itu agak agresif dan cuba melawan semasa kami cuba menangkapnya namun berjaya ditangkap dalam tempoh kira- kira 20 minit.
“Sebaik sahaja ditangkap, ular itu memuntahkan itik yang dimakannya,”katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kehadiran ular sawa itu disedari pemiliknya ketika sedang memberi makanan kepada haiwan ternakannya.
Ular sawa itu dibawa balik ke pusat kawalan operasi APM daerah sebelum dilepaskan ke habitat asal yang jauh dari penempatan penduduk. – TVS