KUCHING, 19 April : Seorang kru bot nelayan disyaki jatuh ke dalam laut di perairan Pulau Burong pada Isnin.
Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, PBK II (TBKI) Abg Othman Abg Sharbini memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.17 petang.
“Maritime Rescue Sub Center (MRSC) menerima panggilan daripada pemilik bot SF1-3397, Hasbullah memaklumkan mangsa, Francis Anak Awi, 39, dipercayai jatuh laut pada 5.06 petang,
“Mangsa dilaporkan menggunakan baju lengan panjang berwarna kelabu,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR), BBP Simunjan dengan kekuatan empat anggota digerakkan ke lokasi di jeti Sebuyau pada jam 8.30 pagi Selasa bagi memberi bantuan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk operasi SAR yang masuk hari kedua.
“Pasukan SAR menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux dan bot aluminium bomba sebagai jentera operasi,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, terdapat beberapa bot nelayan juga turut membantu melakukan pencarian. – TVS