Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

10 inisiatif di bawah KPWKKM akan ditambah baik – Fatimah

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 4 April : Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat (KPWKKM) akan menambah baik perlaksanaan 10 inisiatif utama yang dilaksanakan oleh kementerian berkenaan sebelum ini.

Menterinya,Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas KPWKKM menganjurkan bengkel selama dua hari pada 17 dan 18 Mac lepas untuk mengkaji semula keberkesanan program anjuran mereka.

Katanya, sebanyak 22 agensi kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam seminar dua hari berkenaan dan pelbagai input telah dicadangkan untuk tujuan penambahbaikan.

“Hasil bengkel ini akan digunakan untuk mengatasi cabaran semasa yang dihadapi oleh agensi pelaksana dan rakan strategik semasa melakukan tugasan masing – masing di lapangan,”katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, antara inisiatif dikaji termasuklah yang berada di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak.

Ujar beliau, pihaknya mengambil maklum pelbagai idea yang diberikan semasa bengkel tersebut bagi menambahbaik polisi dan prosedur semasa agar pelaksanaan lebih sistematik.

Katanya, terdapat 10 inisiatif yang telah dinilai semula dan akan diperbaiki iaitu Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Pembiayaan Caruman Minimum i-Suri, Endowment Fund Sarawak (EFS), Geran Tahunan khas (GTK) – Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK), Kad Emas Kenyalang (KGC), Bantuan Ikhsan Kematian (BIK), Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BPBP), Bantuan Perubatan, Geran Sukan OKU dan Geran Pemerkasaan NGO.

“Semua inisiatif yang disebutkan telah dilaksanakan sejak 2018 hingga tahun lepas,”katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, inisiatif bersifat mesra rakyat itu adalah hasil kegigihan Kerajaan Sarawak untuk membantu meringankan beban masyarakat di negeri ini.

Menjawab soalan mengenai status inisiatif-inisiatif yang melepasi tempoh pelaksanaan selepas lima tahun pula, beliau berkata, keputusan pembaharuan terletak pada kerajaan negeri.

“Kerajaan Sarawak akan membuat keputusan sama ada untuk meneruskan inisiatif berkaitan atau tidak selepas mendapat laporan daripada pihak kementerian,’’ jelasnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan