KUCHING, 29 Mac : Kerajaan Persekutuan dijangka akan memberi keputusan dalam tempoh tiga bulan lagi berhubung permintaan Sarawak yang mahu menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketika ini proses perbincangan membabitkan beliau dengan Perdana Menteri , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih berlangsung.
“Setakat ini perkembangan cukup positif.
“Kita (Sarawak) menjelaskan mengapa negeri ini perlu mempunyai syarikat penerbangan sendiri,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis makan malam bersama Sarawak Business Federation (SBF) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini malam ini.
Pada November tahun lepas, Abang Johari berkata, Sarawak merancang untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan untuk menjana ekonomi negeri melalui eksport hasil pertanian selain memenuhi permintaan sektor pelancongan.
Mengulas lanjut perancangan berkenaan, Abang Johari berkata, perbincangan juga membabitkan Unit Perancang Ekonomi dan Khazanah Nasional Berhad.
Terdahulu sewaktu berucap pada majlis berkenaan, Premier Sarawak berkata, hasrat kerajaan negeri yang mahu membangunkan syarikat penerbangan sendiri juga bertujuan untuk memastikan sektor pelancongan negeri ini terus berkembang.
“Pelancong mahu terus ke Kuching dan mereka tidak perlu transit di Kuala Lumpur lagi.
“Sekiranya ditubuhkan syarikat penerbangan sendiri, ia bukan sahaja memanfaatkan Sarawak tetapi seluruh Malaysia,”katanya.-TVS