KOTA KINABALU, 23 Mac: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berpandangan Sabah merupakan sebuah negeri yang merdeka dan menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
Sehubungan itu, beliau berkata, sebarang tuntutan yang dibuat oleh Manila atau pihak yang mendakwa mereka mempunyai kaitan dengan Kesultanan Sulu, tidak harus dilayan.
Tegas Mohd. Shafie, pihak – pihak yang menuntut Sabah juga tidak mempunyai hak undang – undang untuk membuat tuntutan ke atas Sabah.
“Oleh itu, Putrajaya dan Wisma Putra harus mengambil langkah proaktif untuk selesaikan isu ini dan jangan membiarkannya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mohd. Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah berkata demikian sebagai mengulas keputusan mahkamah timbang tara di Perancis yang mengarahkan Malaysia untuk membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.6 bilion) kepada pewaris Sultan Sulu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, kerajaan kekal dengan pendirian Sabah sudah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963 dan oleh itu, Malaysia tidak akan melayan tuntutan daripada mana – mana pihak berkaitan Sabah. – TVS