Kredit gambar: NOAA Environmental Visualization Laboratory
KUCHING, 21 Mac: Fenomena Equinoks merupakan satu fenomena astronomi dimana kedudukan matahari berada tegak di atas garisan ekuator Bumi atau lebih dikenali sebagai Garisan Khatulistiwa.
Ini akan menjadikan bumi dan matahari berada pada jarak paling dekat dalam sistem solar. Ketika itu juga, seluruh dunia akan mengalami tempoh/masa siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam.

Asal perkataan ‘Equinoks’ diambil dari istilah Latin dimana ‘Equi’ membawa maksud ‘sama’ dan ‘Nox’ adalah ‘malam’.
Setiap tahun, fenomena ini akan berlaku sebanyak dua kali iaitu pada bulan Mac dan September. Menurut portal Malaysian Space Agency (MYSA), pada tahun ini, equinoks yang pertama akan berlaku pada 21 Mac 2022.
Selain itu, menurut Planetarium Negara pula, bagi kawasan yang betul-betul berada di atas garisan Khatulistiwa seperti di Pontianak, Indonesia dan Quito, Ecuador, akan berlakunya peristiwa tengahari ‘tanpa bayang’.
“Ini kerana matahari akan berada betul-betul tegak di atas kepala pada waktu tengah hari di kawasan-kawasan tersebut semasa berlakunya Ekuinoks.
“Di Malaysia, peristiwa tengahari ‘tanpa bayang’ ini akan berlaku beberapa hari lewat selepas terjadinya fenomena ekuinoks. Antaranya, di Kota Tinggi akan berlaku pada 25 Mac 2022, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 28 Mac 2022 dan di Kuala Terengganu pada 3 April 2022.” jelasnya lagi. – TVS