SRI AMAN, 18 Mac: Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila tayar belakang lori dipandunya yang sarat dengan muatan besi penghadang jalan terbakar secara tiba-tiba dalam kejadian di Jalan Sri Aman Engkilili, dekat sini.
Insiden pada pukul 7.40 malam tadi berlaku ketika pemandu lori yang berusia 55 tahun itu dalam perjalanan ke Sibu dari Kuching.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, Penolong Penguasa Bomba Wiliam Baheng berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 7.43 petang.
Sampai di tempat kejadian katanya, bomba mendapati kebakaran melibatkan tayar belakang sebelah kiri lori berkenaan.
“Pasukan bomba memadam air menggunakan satu salur bantu mula air daripada tangki jentera,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada masalah sistem brek kenderaan berat itu.
Katanya, operasi tamat pada pukul 8.39 malam dan kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan. – TVS